PILIH UNTUK SIHAT ATAU SEBALIKNYA ?

Nikmat sihat adalah anugerah paling berharga dalam sebuah kehidupan seseorang, namun ia masih lagi dianggap remeh mungkin kerana faktor menganggap diri masih berusia muda dan menganggap masa masih panjang untuk menjaga kesihatan.

Perlu diingat penyakit tidak mengenal usia malah ia akan menyerang bila-bila masa sahaja jika kita tidak mengubah cara hidup dan mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan kesihatan ialah satu tahap atau keadaan seseorang individu yang sempurna dari segi fizikal, mental dan sosial, bukan sekadar bebas daripada penyakit, kecacatan dan kecederaan saja.

Konsep kesihatan dan kecergasan masa kini dilihat lebih dinamik serta sentiasa berubah mengikut gaya hidup dan keadaan semasa.

Masyarakat menunjukkan kesedaran terhadap aktiviti fizikal bagi meningkatkan kesihatan dan kecergasan diri. Namun, adakah kesedaran ditunjukkan seiring amalan dan aktiviti fizikal dilakukan?

DISYORKAN UNTUK ANDA

Realitinya, kesihatan dan kecergasan diri satu pilihan, bukannya secara kebetulan. Bagi meningkatkan kesihatan dan kecergasan diri, seseorang perlu memilih untuk mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengamalkan konsep kecergasan menyeluruh merangkumi aspek fizikal, rohani, emosi, intelektual serta sosial.

Konsep multi dimensi dalam kecergasan menyeluruh mampu memberikan kesan positif terhadap kesihatan dan kecergasan diri apabila dilakukan secara konsisten.

Komponen kecergasan fizikal menekankan keupayaan individu untuk berfungsi secara berkesan dalam menghadapi cabaran dan tugasan harian serta menggunakan masa lapang dengan efektif, selain mempunyai lebihan tenaga untuk menghadapi kecemasan.

Komponen kecergasan rohani merujuk keupayaan individu membentuk satu sistem nilai, bertindak berlandaskan kepercayaan dengan menetapkan dan melaksanakan matlamat kehidupan yang bermakna serta konstruktif.

Kecergasan emosi pula, merujuk keupayaan mengawal tekanan dan menyatakan emosi dengan sewajarnya, manakala kecergasan intelektual merujuk keupayaan individu belajar serta menggunakan pelbagai informasi secara efektif untuk diri sendiri, keluarga dan perkembangan kerjaya.

Kecergasan sosial pula merujuk keupayaan individu berinteraksi dengan orang lain bagi mewujudkan hubungan bermakna ke arah peningkatan kualiti kehidupan.

Dalam kesibukan kerja seharian, kita perlu bijak memilih dan melakukan aktiviti yang memberi manfaat kepada kesihatan serta kecergasan diri.

Contohnya seperti selalu menggunakan tangga dan meletakkan kenderaan lebih jauh daripada tempat kerja. Boleh juga dilakukan sedikit senaman ringan di tempat kerja dengan meregangkan tangan atau meluruskan kaki supaya peredaran darah dapat berjalan dengan baik.

Menarik nafas panjang beberapa kali juga memberi sedikit kelegaan dan ketenangan. Sentiasalah berikan senyuman kepada rakan sekerja dan bertanya khabar satu sama lain. Semua ini mampu memberikan kesan positif kepada seseorang.

Carilah masa sekitar 20 hingga 30 minit sehari sama ada pada waktu pagi atau petang untuk melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya tiga hingga empat kali seminggu seperti bersenam, berbasikal, berlari, berenang dan pelbagai aktiviti lain.

Ini kerana kesan aktiviti fizikal ini bukan saja baik untuk kesihatan, malah baik untuk aspek psikologi dan sosial. Aktiviti fizikal juga mampu mengurangkan tekanan darah, kebimbangan, kesedihan dan mengawal berat badan seseorang.

Individu yang sentiasa bersenam dan melakukan aktiviti fizikal mampu meningkatkan sistem kardiovaskular, meningkatkan daya pemikiran serta mampu mengawal emosi diri.

Bagi memudahkan kita merancang dan melakukan aktiviti fizikal serta senaman, bolehlah merujuk piramid aktiviti fizikal dan senaman bagi meningkatkan tahap kesihatan serta kecergasan diri mengikut keperluan masing-masing.

Perlu diingat, setiap individu mempunyai tahap kecergasan berbeza. Justeru bagi memulakan aktiviti fizikal, seseorang itu perlu peka terhadap tindak balas tubuh ketika melakukan senaman atau aktiviti fizikal.

Mulakan aktiviti senaman atau riadah dengan intensiti rendah dan penambahan boleh dilakukan mengikut keperluan serta jenis aktiviti dilakukan.

Aktiviti fizikal yang dilakukan secara konsisten akan memberi kesan positif kepada sistem tubuh dengan mengurangkan risiko penyakit kronik, menguatkan jantung, meningkatkan stamina, melancarkan peredaran darah, meningkatkan sistem pertahanan tubuh, mengurangkan lemak dan mampu mengekalkan berat badan ideal serta meningkatkan motivasi diri seseorang.

Jadi jangan tunggu lagi, lakukan aktiviti bersenam dan fizikal sekerap boleh. Kekal sihat dan cergas itu satu pilihan.

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook-f Instagram COPYRIGHT © 2019 POWER MANIA OFFICIAL WEBSITE | DESIGNED BY ESKAY WEBSITE DESIGN AGENCY
Power Mania Nutrition Help Chat
Send via WhatsApp
Scroll to Top
Scroll to Top