Berbasikal, sudah menjadi trend masyarakat kita masa kini menjadikan aktiviti berbasikal adalah satu aktiviti riadah dan juga hobi bagi sesetengah orang. Namun sejauh manakah aktiviti berbasikal ini menjadi satu aktiviti riadah yang sihat? Dan adakah kita melakukan aktiviti ini dengan cara yang betul ?
Mari sama-sama kita rungkai mengenai kebaikan dan keburukan aktiviti berbasikal ini.
Kebaikan
Dapat membakar kalori dengan lebih berkesan ?
Adakah benar dengan berbasikal ini dapat membakar kalori ? Sememangnya setiap aktiviti yang dilakukan dengan pergerakan anggota badan dapat membakar kalori dan aktiviti berbasikal memang salah satu cara untuk membakar kalori dengan lebih efektif kerana bila kita berbasikal beberapa anggota badan yang penting kita bekerja terutama sekali bahagian kaki.
Oleh yang demikian pembakaran kalori akan berlaku dengan lebih banyak bergantung kepada sejauh mana kayuhan kita lakukan dalam sesuatu masa.
Baik untuk Jantung
Berbasikal boleh akan meningkatkan kesihatan kardiovaskular. Berbasikal secara berkala menyihatkan badan kerana ia mengurangkan tekanan darah tinggi, mengawal gula dalam darah dan juga menghalang serangan jantung.
Selain itu , berbasikal secara berkala meningkatkan fungsi jantung, kerana ia membuatkan jantung mengepam darah dengan lebih efisyen.
Di samping itu, berbasikal juga meningkatkan jumlah kolesterol baik sambil menurunkan kolesterol jahat di dalam badan anda. Hasilnya, plak di dalam arteri dapat dikurangkan.
Tidur lebih lena
Jika anda menghadapi masalah tidur atas apa jua sebab, berbasikal mungkin boleh menjadi penawar untuk anda.
Menurut satu kajian di Stanford University School of Medicine, masa yang diperlukan untuk pesakit yang mengalami sedentari insomnia untuk tidur penurunan sebanyak separuh, dan masa tidur mereka juga meningkat sebanyak satu jam apabila mereka berbasikal selama sekitar 20 hingga 30 minit setiap hari.
Sebabnya adalah apabila berbasikal di luar, badan akan terdedah kepada cahaya matahari. Hasilnya, irama sirkadian kembali selari dan tahap kortisol serta hormon stres juga menurun.
Keburukan
Berbasikal di jalan utama merisikokan nyawa
Bila melakukan aktiviti berbasikal ia memerlukan kita untuk menggunakan jalanraya untuk memastikan jarak kayuhan dapat dilakukan dengan baik. Namun, perkara ini turut bakal membahayakan si pengayuh serta pengguna jalanraya yang lain.
Mengikut rekod yang pernah dikeluarkan pada tahun 2021, seramai 56 orang maut ketika melakukan aktivi berbasikal dan 18 orang cedera parah dan 63 cedera ringan turut direkodkan dalam melakukan aktiviti ini.
Dari rekod tersebut kita boleh lihat bahawa aktiviti berbasikal ini boleh membawa mudarat kepada kita jika ia dilakukan secara tidak berhemah dan tidak mematuhi undang-undang jalanraya.
Risiko serangan jantung
Disebalik kebaikan untuk jantung, aktiviti ini juga boleh menyebabkan serangan penyakit jantung kepada si pengayuh. Oleh yang demikian, mereka yang ingin memulakan aktiviti berbasikal ini dinasihatkan untuk memeriksa dahulu kesihatan terutama kesihatan jantung dan dapatkan nasihat daripada pakar.
Hal ini kerana sukan berbasikal dikategorikan satu aktiviti fizikal yang berat berbanding aktiviti seperti jogging dan lain-lain.
Kesimpulannya, setiap aktiviti atau perbuatan punyai baik dan buruknya yang tersendiri selebihnya hanya kita sahaja mampu melakukan mengikut cara dan langkah yang betul. Semoga perkongsian ini membawa manfaat kepada pembaca dan terima kasih kerana terus menyokong kami. Semoga kita kekal aktif dan sihat sentiasa.